Friday, February 24, 2012

KES HIDU GAM

RUJUKAN: AKHBAR BERITA HARIAN (20.8.2011)

Tangani segera kanak-kanak hidu gam

DALAM usaha pihak berkuasa memerangi penyalahgunaan dadah, saya ingin menarik perhatian pihak kerajaan berkaitan penyalahgunaan daun ketum dan kegiatan menghidu gam semakin berleluasa di kalangan kanak-kanak. Saya dimaklumkan kanak-kanak berusia 12 tahun sudah terbabit dalam kegiatan menghidu gam.

Baru-baru ini, media melaporkan sebuah taman permainan di Jalan PJS 2C/8 Taman Datuk Harun menjadi sasaran tempat menghidu gam di kalangan kanak-kanak.

Apabila seorang wartawan akhbar berkunjung ke sana, beliau mendapati empat remaja iaitu tiga budak perempuan dan seorang budak lelaki sedang khayal selepas menghidu gam. Budak lelaki itu ketika ditanya mengaku mereka mendapat wang daripada ibu bapa untuk membeli gam. Setin gam boleh dibeli di mana-mana kedai perkakasan dengan harga RM4 dan sedang merancang mengadakan parti menghidu gam. Biarpun polis menyedari aktiviti ini, tiada peruntukan undang-undang membolehkan aktiviti menghidu gam didakwa dan mereka yang terbabit akan dibebaskan selepas diberi amaran. Ketika ini, menghidu gam bukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Walaupun saya tidak mengetahui jumlah sebenar penghidu gam di negara kita, saya percaya bilangan mereka cukup besar untuk mewajarkan tindakan pihak berkuasa yang berkaitan serta keresahan ibu bapa. Mereka yang ketagih akan mengalami masalah kesihatan serius seperti kerosakan otak, bahkan juga boleh mendorong mereka terbabit dengan jenayah dan juga gejala sosial yang lain. Kanak-kanak memerlukan kaunseling dan pemulihan.

Justeru, undang-undang khusus diperlukan untuk menangani isu ini serta mengawal peniaga daripada terus menjual gam secara bebas. Ibu bapa perlu mengambil perhatian serius serta perlu mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa yang berkaitan jika mendapati anak mereka menghidu gam.

Saya menyeru kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan aktiviti menghidu gam secepat mungkin bagi mengatasinya sebelum parah dan juga melindungi kanak-kanak daripada ancaman bahaya.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

No comments:

Post a Comment